Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menafikan beliau berfahaman Wahabi ekoran kenyataannya di Dewan Negara baru-baru ini.
Beliau yang diserang netizen ekoran kenyataan bahawa Wahabi bukanlah satu fahaman sesat menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan umat Islam yang berpegang dengan fahaman ahli sunnah wal jamaah (ASWJ).
Asyaraf berkata, statusnya di Facebook sebelum ini menjawab soalan di Dewan Negara mengundang pelbagai tohmahan, tuduhan, dan mencetus polemik.
“Mungkin saya perlu jelaskan bahawa status itu tidaklah sesekali menggambarkan seolah-olah saya pendokong, pengagum jauh sekali berfahaman Wahabi.
“Dari dulu hingga kini saya masih mengamalkan bacaan doa dan berzikir secara jahar dan berjemaah selepas solat, menjaharkan bacaan Basmalah (Bismillah) dalam Al-Fatihah ketika mengimamkan solah, tidak tinggal membaca qunut ketika solah subuh, biasa mengepalai doa selamat, tahlil arwah, solat hajat dan bacaan yasin, dan turut menyambut Maulidur Rasul.
“Malah setiap tahun dijemput menyampaikan tazkirah dalam Majlis Haul Abdul Kadir Al-Jailani dan Maulidur Rasul perdana yang dihadiri para Habaaib dan ulamak tasawuf dari seantero dunia,” katanya di laman Facebooknya.
Netizen yang meninggalkan komen di laman Facebook beliau turut mendedahkan keburukkan fahaman Wahabi selain meminta Timbalan Menteri itu memaklumkan kepada umum keputusan Majlis Fatwa dan beberapa Mufti menghalang fahaman itu disebarkan.
Malah ada juga yang meminta Asyaraf menasihati sahabat baiknya yang juga Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainal Abidin kerana dipercayai cenderung ke arah fahaman Wahabi.
Bukan itu saja, ada juga yang mengkritik Asyraf kerana beranggapan bahawa isu Wahabi hanya berkisar tentang perkara ‘khilafiah’ yang tidak menguntungkan Islam.
Ayuh saudara-saudaraku seaqidah dan seagama, hentikanlah perdebatan emosi mengenai perkara KHILAFIAH yang tidak menguntungkan Islam. Lebih baik kita saling bermuafakat untuk usaha dakwah yang lebih besar bagi meratakan kefahaman Islam dalam masyarakat yang masih jauh dari memahami dan menghayati ajaran Islam yang sebenar.
Sementara itu, Asyraf menyeru orang ramai supaya sama-sama menghayati dan mengambil pengajaran daripada guru dan imam mazhab yang agung iaity Imam Syafie Rahimahullah yang menasihatkan tentang perihal adab dan meraikan perbezaan pandangan. -Haspaizi Mohd Zain